Hari ini dalam Hijrah

Saturday, September 6, 2008

KEUTAMAAN BAGI UMAT ISLAM

Keutamaan bagi umat Islam dewasa ini, bermaksud bagaimana kita seharusnya tahu meletakkan sesuatu pada tempatnya secara adil. Perkara itu meliputi sgala hal yang berkait dengan hukum, nilai dan kerja. Sesuatu amalan itu sebagai contoh, hendaklah diutamakan apabila ia patut diutamakan, Jadi jangan diutamakan yang kurang penting daripada yang lebih penting.

Dengan kata lain, jangan lah umat Islam suka memperbesar-bsarkan perkara remeh temeh dan jangan pula memperkecil-kecil perkara yang sebenarnya besar. Sesuatu kerja yang asas dan dasar harus didahulukan berbanding dengan kerja yang tidak pnting. Oleh sebab itu umat Islam memerlukan pemahaman yang baik berkait dengan keutamaan dalam brtindak, atau dikenali juga dengan istilah fiqh maratib al-a`mal sama ada dalam perkara kebendaan mahu pun maknawi, pemikiran atau sosial, ekonomi atau politik, perpaduan atau kerjasama.

Para ulama pernah membuat teguran kepada umat Islam yang amat tidak faham dengan keutamaan ini, sehinggakan terlalu mengutamakan kegiatan sukan dan hiburan berbanding dengan kegiatan ilmiah dan akademik. Aktiviti jasmani kadangkala lebih berkali ganda diberi perhatian berbanding aktiviti mental, sehingga menjadi perbincangan harian umat Islam tentang sukan dan hiburan sedangkan tentang buku dan ilmu jarang diambil peduli.


Akibat daripada itu nama-nama yang menjadi tumpuan masyarakat bukan lagi para ilmuan atau budayawan, tidak juga para karyawan dalam sektor awam atau swasta yang cukup banyak menyumbang kudrat dan sumbangan bermakna,itulah yang tidak ada keadilan dari segi penonjolan.

Justeru itu, semua media lebih sibuk dengan nikah cerai selebriti berbanding dengan pencapaian seseorang sasterawan mahu pun seorang profesor yang memberikan teori baru. Tidak dihiraukan sangat pencapaian demi pencapaian akademik lulusan IPT dalam segala segi dan bidang tetapi lebih menonjolkan berapa harga mas kahwin artis, perkahwinan di hotel mana dan siapa tetamunya hatta haji dan umrah mereka pun menjadi berita sensasi yang sebenarnya tidak ada apa-apa erti.

Ahli Agama Yang Hilang Kefahaman Keutamaan
Di kalangan ilmuan agama juga terdapat salah faham tentang keutamaan ini. Akibatnya, banyak perkara yang kurang penting diutamakan. Sedangkan keperluan semasa yang amat perlu tidak dihiraukan.
Misalnya, apa perlunya bersibuk membina masjid yang banyak pada tempat yang sudah ada banyak masjid? sedangkan masjid itu yang sudah ada belum mampu dimakmurkan, hanya digunakan sekali seminggu sahaja. Mereka lebih suka membina bangunan batu daripada membina insannya.

Berapa ramai pula merka yang berkali-kali melakukan ibadah haji dan umrah sanggup mengurangkan pemergian mereka ke sana supaya orang lain lebih selesa membuat ibadat haji atau sanggup berkorban menggunakan perbelanjaan sedikit harta mereka kepada mangsa perang di Palestin, malah mangsa-mangsa gempa bumi dan bencana alam?

Banyak kewajipan segera diabaikan sedangkan pada masa yang sama mereka asyik melakukan kerja yang boleh ditangguhkan. Patutkah ditangguhkan pembelaan terhadap anak-anak yatim, ibu tunggal atau merawat mereka yang sakit atau memberikan pekerjaan kepada penganggur. Kenapa beban tugas ini hanya diserahkan kepada kerajaan sahaja hatta untuk mencuci longkang di depan rumah mereka.

Ratio Ahli Agama dan Pekerja Profesional

Imam al-Ghazali pernah menegur para terpelajar pada zamannya yang beramai-ramai mendalami bidang fiqh, sedangkan ketika itu para doktor terdiri daripada tabib Yahudi atau Nasrani. Mereka yang bukan Islam itu lah yang bersusah merawat pesakit muslim, ketika orang Islam menumpu kepada bidang hukum. Di tangan orang Yahudi dan Nasrani itulah terletaknya nyawa kaum muslimin dan aurat muslimah terdedah kepada mereka kerana tidak cukup doktor muslim di negara umat Islam sendiri.

Apakah maknanya, jika ketika orang bukan Islam menyambut tahun baru mereka, tiba-tiba orang Islam di Kuala Lumpur tidak dapat memasak nasi sebab gas dapur sudah habis dan tidak ada pihak yang menghantarnya. Apa maksudnya, apabila kereta rosak di tengah jalan tidak terdapat mekanik, sebab hari itu Tahun Baru Cina. Kenapa sukar mencari kedai gunting muslim dan terpaksa kepala yang begitu mulia di gunting rambutnya oleh seorang yang brbeza agama. Ini semua justeru hilangnya kefahaman tntang keutamaan.

Isu menjadi lebih besar jika pergi ke peringkat global. Apakah wajar ketika kita dihimpit musuh-musuh Islam, para pendakwah masih bertelagah bolehkah atau tidak makan atas meja, atau mana lebih afdal makan atas meja memakai sudu dan garfu atau makan dengan tangan sambil duduk atas lantai. Mana lebih baik memakai jam di tangan kanan atau di tangan kiri, atau memakai pakaian warna putih atau warna hitam.

Lebih menghairankan, bagaimana mereka yang dikatakan berdakwah atau bergerak dalam perjuangan Islam yang tidak menghormati orang tua mereka atau mengherdik mereka yang lebih tua, apalagi mengata dan mencemuh dengan bahasa yang agak kasar??? Pendek kata seribu satu perkara pelik setiap hari berlaku di sekeliling kita ibarat berjalan kaki ke atas dan kepala ke bawah kerana kurang faham denga konsep kutamaan.

Kutamaan Masa Kini
Tuntutan semasa yang kurang diberikan perhatian ini semua, berlaku dengan banyaknya apabila umat Islam seperti mencuaikan fardu kifayah iaitu kemajuan yang setanding dengan orang lain dalam pembinaan industri dan persenjataan.
Berapa ramai jumlah para profesional kita yang terlatih dalam bidang perubatan, kejuruteraan, perakaunan dan seumpamanya ketika kita berebut-rebut mendirikan sekolah tahfiz.
Memang baik orang hafal al-Quran itu, tetapi adakah baik tidak faham al-Qur`an sehingga kita melupakan maksud dan kefahaman surah al-Hadid tentang besi, atau maksud kisah Saba` Raja Balqis dengan Istana Raja Sulaiman, apakah iktibar yang patut kaum muslimin lakukan dengan ayat-ayat santifik dalam al-Qur`an? Adakah mereka berpada dengan hanya mahu dapat pahala bacaan sahaja. Tidakkah juga para jurutera Perodua, pekerja kilang Proton mendapat pahala. Adakah tidak berpahala jika anda membuka ladang dan memberi pekerjaan kepada penganggur yang melalui pendapatannya pula dapat menyara anak isteri mereka, pahalanya kecil berbanding dengan hafalan al-Qur`an itu?.

Kenapa memandang remeh tanggungjawab amar ma`ruf dan nahi munkar, di mana fungsi itu merupakan ciri hidup orang beriman. Apakah maksud amar ma`ruf nahi munkar itu hanya berkhutbah, atau menjadi penguatkuasa undang-undang itu tidak ada pahala. Manalah banyak pahala seorang pengkhutbah dengan mereka yang menggunakan kuasa untuk menangkap pelaku maksiat, penjual yang menyorok barang atau seumpamanya.

Fenomena lain yang berkait dengan kelemahan pemahaman ini juga, mereka yang memerangi perkara makruh, lebih daripada memahami perkara haram. Bersibuk dengan menghalang perbuatan berdosa kecil dengan mengabaikan perbuatan berdosa besar.

Kaitan Keutamaan Dengan Memahami Keseimbangan
Pemahaman keutamaan tidak harus dilihat berdiri secara sendiri. Ia berkait juga dengan kprluan memahami keseimbangan dalam hidup. Kefahaman tentang perimbangan, iaitu membandingkan keutamaan antara perkara yang sama-sama mendatangkan kebaikan. Membandingkan keutamaan antara yang sama-sama membawa kerosakan. Lebih-lebih lagi membandingkan antara yang baik dengan yang merosakkan.

Perbandingan sesama kbaikan ada tiga peringkat:
Amat mustahak, tanpanya tidak dapat hidup(daruriyah). Tahap kdua mustahak- boleh hidup tanpanya tetapi hidup menjadi sukar(hajiyah). Kurang mustahak, adanya baik, bagi menambah seri kehidupan (kamaliah).

Dharuriyyat terdapat pada pemeliharaan agama, jiwa, keturunan, akal dan harta. Sebahagian orang menambah satu lagi iaitu soal maruah diri.
Semua umat Islam hendaklah mengutamakan:
- Kepentingan yang meyakinkan berbanding dengan kepentingan yang kurang meyakinkan. Mengutamakan isu besar, seperti perpaduan berbanding isu kecil seperti kepentingan diri. Mengutamakan kerja kolektif berbanding krja individu. Mengutamakan kepentingan majoriti berbanding kepentingan minoriti. Didahulukan kepentingan berterusan berbanding dengan kepentingan tak berterusan. Didahulukan isi lebih daripada bentuk.

Sama juga halnya dengan perbandingan antara keburukan.
Ia juga melibatkan keburukan yang melibatkan terganggunya pemeliharaan agama, jiwa, nasab keturunan, akal dan harta malah maruah diri.

Bagi memahami perbandingan antara baik dan buruk, diberikan kaedah berikut:
Menolak keburukan lebih diutamakan daripada mencari kebaikan. Contohnya, makan gula itu sedap tetapi menambahkan penyakit kencing manis, maka ditolak makan gula, jika membawa mudarat kepada penyakit kencing manis. Samalah halnya, jika pelancongan membawa wang dari luar, tetapi kerosakan moral daripadanya nyata. Haruslah difikirkan agar ada jenis pelancongan yang tidak membawa bersamanya mudarat. Tetapi kalau mudarat hanya kecil, faedahnya lebih besar, keburukan yang kecil itu boleh dimaafkan. Atau juga keburukan itu hanya sementara tetapi faedahnya berkekalan, sudah tentu diutamakan kebaikan itu. Tidak perlu mengambil kira keburukan yang belum tentu timbul berbanding dengan faedah yang pasti ada.

Apa yang dimaksudkan dengan kebaikan yang diambil kira di sini adalah sama ada berbentuk kepentingan duniawi atau ukhrawi atau kedua-duanya sekali. Demikian juga keburukan dunia atau akhirat. Ini dapat difahami melalui syariah atau akal rasional atau kedua-dua sekali.

Bagi seorang doktor perubatan, mereka berfikir untuk memilih mana yang lebih kepada pesakit ketika mengambil keputusan untuk melakukan pembedahan. samalah kita berfikir tentang baik dan buruk. Di antara dua penyakit yang menimpa seseorang, tentulah dirawat terlebih dahulu penyakit yang lebih bahaya. Dibiarkan dulu penyakit yang kurang bahaya. Utamakan antara dua perkara yang membawa kesihatan kepada si pesakit. Hanya doktor akan ragu-ragu menghadapi dua kemungkinan bahaya dan manfaat yang sama. Di situ timbul istilah ijtihad. Apabila para pakar memutuskan, jika betul mereka dapat dua pahala dan jika salah, masih mendapat satu pahala.
Secara mudah, dalam pentadbiran awam juga kita perlu mendapat pandangan pakar.


Utama Kualiti Daripada Kuantiti
Kejayaan bukan hanya diukur pada bilangan yang banyak atau sedikit, malah usia manusia pun lebih dilihat kepada sumbangan masing-masing dalam hidup ini. Orang Islam ramai yang silap faham tentang hadis nabi yang menyeru beranak ramai. Mereka berusaha mendapat anak yang seramai mungkin. Tetapi mereka lupa yang dibanggakan oleh nabi bukannya anak yang menjadi penjenayah dan penyangak. Nabi sukakan anak-anak soleh, bukannya yang jahil dan fasik.

Isu kualiti banyak dibincang dalam al-Quran. Kemenangan tentera Talut mengalahkan tentera Jalut ( al-Baqarah: 249-251), kemenangan tentera Nabi S.A.W. dalam peperangan Badar (Ali Imran: 123) dan lain-lain lagi. Namun satu kesimpulan boleh diambil apabila unsur iman dan kemahuan ada, segala perkara akan menjadi. Bacalah hadis, nabi berasa bimbang dengan ramai umatnya pada akhir zaman tetapi bilangan mreka yang diumpamakan olh Nabi S.A.W. seperti buih.

Kakitangan kerajaan tidak akan dinilai menurut besar-kecil fizikal atau warna baju mereka, tetapi kualiti kerja yang ditunjukkan. Kualiti kerja cemerlang itu diistilahkan oleh Islam sebagai “ihsan”. Ihsan si penyembelih apabila pisaunya tajam, sampai ayam tidak sempat berasa sakit. Cemerlang seorang guru apabila ramai pelajar cemerlang akademik dan hebat sahsiah diri mereka yang dididik.

Pada zaman ini kita bukan lagi bersaing antara yang gagal dengan yang lulus. Persaingan sampai ke tahap siapa dapat 16A dan 18A. Bersaing bukan untuk masuk ke universiti, tetapi bidang apa yang diterima masuk; perubatan, agama, kejuruteraan atau apa?

Orang tidak perlu berbangga dengan usia yang panjang tetapi tidak dapat memberi sumbangan yang jelas. Menjadi kebanggaan adalah usia Imam Nawawi 40 tahun, Umar Ibn Abdul Aziz 36 tahun, al-Ghazali 55 tahun namun meninggalkan bekas dan pengaruhnya kepada sejarah insan sejagat. Apalah ertinya usia 80 dan 90 tahun yang nantinya anak cucu pun tidak bersedia untuk memeliharanya, akhirnya dihantar oleh anak ke pusat jagaan orang tua. Kita memohon keberkatan dari umur yang panjang.

Kesimpulan
Rasulullah s.a.w. hanya dalam masa 23 tahun dapat menyebarkan Islam ke ceruk dunia sehingga kekal kesannya sehingga15 abad. Abu Bakar menjadi khalifah hanya 2 ½ tahun sahaja tetapi masih dikenang hingga hari ini.

Sayang juga mereka yang mati awal sebelum nyawanya hilang. Mati dalam maksud tidak berbuat apa-apa hanya sekadar menunggu saat kematian sebenar. Mereka menghabiskan masa di kedai kopi berjam-jam lamanya selepas sembahyang subuh, justeru hilang makna keutamaan dalam hidup.





Read more...

KEDUDUKAN ULAMA SILAM

Soalan: Saya selalu keliru dengan pandangan para penulis dan penceramah yang selalunya memberikan berbagai penilaian terhadap ulama silam, malah ulama semasa pun. Beberapa nama yang agak kontroversial seperti Ibn Taymiyyah, Muhammad Abdul Wahab, Ibn `Arabi malah Imam Ghazli sendiri. Daripada kalangan ulama terkemudian nama-nama kontroversial juga seperti Jamaluddin Afghani, Muhammad Abduh dan Muhamad Iqbal. Bagaimana sebenarnya kedudukan mereka ini. Bolehkah kita ikut mereka atau tidak? Saya juga mendapati beberapa percanggahan tentang Syed Qutub. Ada mereka yang mungkin taksub kepada nama –nama ini atau ada yang menolak pendapat mereka itu. Bolehkah prof. bincangkan perkara ini yang selalu diperdebatkan.



Peminat Pemikir Islam,

Kota Kinabalu, Sabah.



Jawapan: Memang ternyata anda seorang peminat bidang pemikiran Islam dan tokoh-tokoh pemikir. Saya percaya anda juga seorang pembaca yang rajin. Soalan ini cukup rumit untuk diperincikan dalam ruangan yang terbatas ini. Walau bagaimana pun saya akan cuba melayani permintaan sdr. Yang saya kira patut dipuji dan dialu-alukan.

Sebagai orang awam, kita harus ingat kata-kata bidalan Melayu ” Jauhari juga yang mengenal manikam”. Maka ramai daripada kalangan penulis mahu pun pendakwah yang tidak sebenar-benarnya mencapai status jauhari. Lalu mereka tidak dapat membezakan mana yang intan dan mana yang kaca. Tetapi anihnya, mereka ini cukup berani membuat penilaian terhadap tokoh-tokoh ini.

Jika saya jahil dengan nilai permata atau suara burung yang merdu, bagaimana saya boleh menilai itu semua. Malah mereka yang tidak mencapai tahap tertentu dalam permainan bola pun bukannya mudah ingin menilai seorang pemain bola yang baik. Inikan pula berkait dengan bidang pemikiran tokoh. Saya cukup hati-hati dalam masalah ini.


Para ulama atau pemikir yang yang disebut di atas sebenarnya merupakan ulama muktabar, malah sebahagian besar mereka itu diangap mujtahid atau mujaddid. Mereka ulama umat untuk menjadi contoh tauladan kepada semua. Kita semua tidak harus menjadi taksub kepada mazhab atau aliran tertentu. Daripada kalangan bangsa Melayu mungkin tidak ada yang mencapai kedudukan tinggi seperti mereka.

Hanya mereka yang taksub, akan melihat ulama yang sesuai dengan fikiran mereka sahaja mereka terima. Adapun ulama yang tidak sesuai dengan fikiran mereka ditolak. Perbuatan sedemikian menjadikan kita ”bodoh sombong”. Mungkin juga orang lain akan menilai kita sebagai ilmu tidak cukup matang.

Ada mereka umpamanya yang mempertikaikan kedudukan fatwa-fatwa Imam Abu Hanifah, kononnya tidak banyak menggunakan hadis, tetapi membuat hukum berdasarkan pemikiran rasional. Pada hal Imam Abu Hanifah seperti ulama lain juga yang membuat fatwa berdasarkan al-Quran dan hadis. Cuma mungkin berbeza dengan Imam Ahmad atau Imam Malik dan Imam Shafi`i, beliau lebih banyak menggunakan akal. Tak bermakna beliau menolak hadis, atau kurang tahu tentang hadis. Kalau pun dia kurang tahu hadis seperti tiga ulama yang lain itu, namun ia tetap imam mujtahid yang jauh lebih banyak tahunya daripada kita yang berlagak mahu menilai mereka itu.

Ibn Taymiyyah, ulama mujaddid yang hebat. Tokoh pembaharu dalam dunia Islam pada abad 13M. Namun ramai mereka yang tidak menyukainya menganggap beliau sebagai musuh atau menuduhnya dengan berbagai tuduhan. Perbuatan ini tidak lebih daripada akibat taksub kepada mazhab mereka. Ibn Taymiyyah tidak diberi kedudukan yang baik. Beliau seorang ulama yang hebat dalam bidang hadis, fekah, tafsir dan sebagainya. Tetapi kita ini siapa yang cuba menilainya.

Apakah kerana beliau bermazhab Hanbali dan kita bermazhab Syafi`i maka layak kita menolak kealimannya. Lebih teruk kerana pendapatnya berbeza dengan pendapat kita lalu dituduhnya menyeleweng dan murtad. Siapa sebenarnya yang menyeleweng. Saya bimbang penolakan itu kerana kita hanya ada sedikit ilmu yang tidak punyai kayu ukur untuk menilai mereka seperti ini.

Lebih-lebih lagi terhadap tokoh seperti Syekh Muhammad Ibn Abdul wahhab, tokoh mujaddid zamannya diberi berbagai tuduhan. Anihnya, yang menuduh tokoh ini, membaca kitab Arab pun tidak tahu dan ilmunya jauh daripada mencapai taraf keilmuan Syekh Muhammad ini.

Samalah mereka yang menolak pandangan al-Ghazali pun juga amat memalukan. Dengan hanya membaca dua tiga buah kitab dengan beraninya sudah pandai menghukum itu dan ini kepada orang lain. Dan menjadi mangsa juga ulama pembaharu dan pembawa ubur Islah lain seperti Jamaluddin Afghani, Muhammad Abduh, Hasan Al-Banna atau Iqbal. Pada masa akhir-akhir ini juga Syed Qutub dan Maududi menjadi kecaman. Siapa kah kita yang berani menilai mereka ini?

Apa yang seharusnya disedari, mereka itu adalah para ilmuan dan mujtahid atau mujadid. Mereka masih mengikuti kehendak Islam untuk mereka memahami Islam melaui al-Quran dan al-hadith. Lantas mereka mengeluarkan pendapat dan pemikiran yang lebih berani. Mereka bukan ulama jumud dan beku. Mereka mempunyai kefahaman yang benar. Mereka membawa aliran Islam yang berasaskan anjuran al-Quran dan Sunnah Nabi SAW.

Untuk tidak bersikap zalim kepada mereka, syarat pertama setiap kita patut cuba memahami latar belakang zaman dan waktu mereka hidup. Ibn Taymiyyah muncul pada zaman orang Islam berpecahbelah. Aliran akidah, tasawuf dan fekah yang bercakaran sesama sendiri. Lalu dia muncul mempelopori penyatuan untuk kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah. Kekuatannya menyatukan umat supaya kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah. Jangan lagi taksub mazhab. Apakah salah dia menganjurkan untuk tidak taksub mazhab. Mana hadis nabi yang menyuruh kita umat Islam taksub kepada mazhab?

Muhammad Abdul Wahab pula melaksanakan pengajaran Ibn Taymiyyah secara praktis, ketika masyarakat semenanjung Arab jauh ke dalam syirik hingga ada yang menyembah pokok kayu. Wajar lah beliau mengambil pendekatan keras terhadap mereka yang syirik itu. Beliau membawa pendekatan tauhid yang lebih mudah difahami berbanding dengan pendekatan yang sifatnya terpengaruh dengan aliran Mu`tazilah atau falsafah Greek.

Ibn `Arabi mempunyai kreativiti rohaniah yang cukup tinggi. Abbas Mahmud al-`Aqqad menyifatkannya sebagai genius. Namun mereka yamg tidak dapat memahaminya menuduhnya kufur dan sebagainya.

Saya berpendapat tokoh-tokoh ini kesemuanya, meskipun ada kelemahan mereka, tetapi berbanding dengan sumbangan besar mereka, mereka jauh banyak berjasa kepada Islam berbanding dengan kita yang berani mengatakan itu dan ini kepada mereka. Apa sumbangan para pengkritik dan pengutuk ini yang baru masih bertatih dalam ilmu Islam.

Contohnya, Jamaluddin Afghani yang dituduh pernah menganggotai freemason tetapi adakah tuduhan ini benar?Mungkin kah dia diperangkap atau tidak sengaja berlaku demikian. Namun jasanya kepada dunia Islam cukup besar. Apalagi beliau menjadi inspirasi ke arah pembebasan bangsa Timur menuju kemerdekaan. Bukan sahaja untuk umat Islam tetapi bangsa yang terjajah yang sanggup berjuang mencapai kemerdekaan. Tanpa pengaruh Jamaluddin Afghani dan Abduh, mungkin Malaysia pun masih dijajah politiknya sampai hari ini.

Abduh juga menjadi wira dalam reformasi pendidikan Islam moden di dunia Islam. Kehebatan universiti Al-Azhar hingga namanya harum sampai ke hari ini dan Abduh berperanan memberi sumbangan besar kepada pemodenan pendidikan Islam. Hingga kini, al-Azhar bukan sahaja pusat ilmu agama tetapi menawarkan berbagai disiplin pengajian seperti perubatan, kejeruteraan dan lainnya.

Kesimpulannya, jangan kita mudah menuduh mereka itu kerana ada sedikit kesilapan, atau mereka tidak sama dengan cara kita berfikir dan bertindak. Manalah ada manusia yang sempurna. Dan adakah kita yang menuduh orang itu begitu dan orang ini begini memberi jasa besar kepada umat Islam. Adakah kita ada kekuatan seperti Iqbal yang memberi inspirasi kepada pembentukan negara Islam Pakistan. Apakah penuduh ada kekuatan sanggup mengorbankan nyawa mempertahankan Islam seperti Syed Qutub.

Mengambil sikap mempersalahkan semua orang akan melahirkan masyarakat yang tidak menghormati dan mengiktiraf peranan pihak lain. Ia membawa perangai buruk tidak memberikan penghormatan dan penghargaan kepada para pemimpin semasa kerana berlainan fahaman.

Islam memberikan kepada kita semua ruang untuk berbeza pendapat. Apa yang tidak dibenarkan adalah perpecahan kerana taksub kepada mazhab masing-masing. Fanatik dan taksub inilah yang menjadi perosak kepada perpaduan umat. Wallahua`lam.


Read more...